Misteri Tasik Chini

https://bumimisteri.blogspot.com/
Misteri Bumi Tasik Chini- pertama kali melangkah sewaktu keluar dari calet di pinggir tasik itu terhenti seketika apabila kedinginan udara pagi seakan-akan mencucuk sehingga ke tulang kering.

Dengan persekitaran yang sejuk sambil alunan merdu suara unggas bersahutan, terlintas juga di fikiran bahawa lebih enak jika pagi itu dihabiskan sahaja dengan berehat di atas katil.

Masakan tidak, stick baru menunjukkan angka 7. Masih terlalu awal untuk meneroka kawasan tasik itu yang masih basah dek hujan malam tadi.


Bagaimanapun, niat itu hilang tiba-tiba sebaik sahaja kedua-dua kaki terhenti di gigi air. Di hadapan, terbentang sebuah tasik yang begitu indah seakan-akan sebuah lukisan.

Permukaan air yang tenang kelihatan seperti cermin memancarkan kembali rona jingga kebiruan mentari subuh hari itu. Ternyata keindahan Tasik Chini yang selama ini hanya terbayang di minda, kini terpampang di depan mata.

"Memang tasik ini nampak tenang. Namun, di sebalik ketenangannya itu, banyak kisah yang tersembunyi. Kisah misteri, mistik dan sedikit menggerunkan.

"Awak tahu tasik ini ada penjaganya? Cubalah tanya pada penduduk-penduduk asal kawasan ini, banyak kisah yang akan awak ketahui," ringkas penerangan yang dilontar Mohd. Razali M. Baki, 62, Pengerusi Komuniti Bestari 1Malaysia Felda Chini 2.

Mohd Razali yang lebih dikenali sebagai Pak Lang hanya tertawa kecil melihat reaksi pengunjung apabila dia menyebut perkataan 'penjaga'. Daripada pengamatannya, rata-rata pengunjung akan kecut perut apabila diajukan cerita sebegitu.

Namun, kepada yang berhati kering, minat mereka terhadap kisah-kisah mistik di sebalik nama Tasik Chini semakin meluap-luap.

Ujar Pak Lang, jika disebut nama Tasik Chini, pasti ramai akan terbayang kisah dongeng mengenai seekor naga yang menghuni tasik tersebut. Baik kanak-kanak mahupun orang dewasa, ramai yang mengaku pernah mendengar nama Naga Tasik Chini.

Malah, kadangkala, ada pengunjung yang datang ke tasik seluas kira-kira 5,085 hektar itu semata-mata untuk melihat kelibat makhluk berkenaan.

"Mengikut legenda yang disampaikan orang tua-tua, Tasik Chini pada asalnya dijadikan tempat tinggal oleh dua ekor naga iaitu Naga Tasik Chini dan Naga Sri Gumum. Kedua-dua naga ini bersaudara," ujarnya.

Menghuraikan kembali kisah dongeng yang pernah didengarnya, Pak Lang berkata, pada suatu ketika, berlaku pertelingkahan antara Naga Tasik Chini dengan seekor lagi naga yang tinggal di Laut China Selatan.

Pertelagahan tersebut tiba ke kemuncak apabila Naga Tasik Chini bertekad untuk menyeberangi negeri Pahang bagi bersemuka dengan naga tersebut.

"Nasib tidak menyebelahi Naga Tasik Chini apabila dia tewas dalam pertarungan tersebut dan bersemadi di dasar laut. Kematian tersebut menyebabkan Naga Sri Gumum berang.

"Naga Sri Gumum kemudian bertekad membalas dendam untuk saudaranya itu, lalu dia menyeberangi negeri Pahang untuk ke Laut China Selatan," ujarnya bersemangat.

Cerita Pak Lang lagi, niat Naga Sri Gumum untuk menuntut bela bagaimanapun tidak kesampaian apabila dia dihalang oleh Sultan Pahang yang menitahkannya supaya kekal sebagai penjaga Tasik Chini.

Terletak kira-kira 85 kilometer dari bandar Kuantan, Tasik Chini yang merupakan tasik air tawar kedua terbesar di negara ini menyimpan banyak kisah.

Terkenal dengan kepelbagaian verdure dan faunanya, Tasik Chini yang merangkumi 13 buah tasik kecil lain turut menjadi environment kepada kira-kira 145 spesies ikan air tawar.

Turut menjadikan tasik tersebut sebagai salah satu sumber kehidupan ialah beberapa suku Orang Asli antaranya, Jakun yang membina penempatan di kawasan pinggir tasik.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai pengalamannya sendiri, Pak Lang yang pernah menggalas jawatan sebagai Ketua Kampung Felda Chini 2 selama 12 tahun berkata, dia tidak pernah terserempak dengan Naga Sri Gumum walaupun sudah berpuluh tahun tinggal di kawasan itu.

Namun ujarnya, pada tahun 1985, sewaktu dia sedang membawa bot di tasik berkenaan, dia pernah berdepan dengan satu makhluk aneh seakan-akan ular besar yang belum pernah dilihatnya sebelum ini.

"Pada waktu itu saya sedang membawa bot secara berseorangan di tasik berkenaan. Secara tiba-tiba, di hadapan saya muncul satu lembaga seakan-akan seekor ular yang amat besar. Kulitnya berwarna hitam dan kelihatan seperti bercorak batik.

"Bagaimanapun, saya tidak pasti apa sebenarnya lembaga itu kerana kepala dan ekornya berada di bawah permukaan air. Hanya sebahagian daripada badannya yang timbul. Badannya itu sebesar tong measure!," ujarnya.

Lebih menghairankan Pak Lang, lembaga itu muncul hanya seketika sebelum perlahan-lahan tenggelam semula ke dalam air.

"Itulah kali pertama dan kali terakhir saya terserempak dengan lembaga sedemikian. Sehingga kini saya masih tidak pasti lembaga apakah itu? Adakah ia Naga Sri Gumum? Saya tidak berani mengesahkannya," katanya mengakhir perbualan.

Gabungan antara keindahan alam semula jadi dengan latar belakang misteri Tasik Chini ternyata menjadi aspek penting yang meletakkannya sebagai salah satu pusat tarikan pelancongan di Pahang.

Malah, ada segelintir pelancong yang datang ke tasik tersebut semata-mata untuk melihat makhluk tersebut.

Berbekalkan lensa kamera sebagai senjata, golongan pelancong ini akan menggunakan perkhidmatan bot sewa untuk membawa mereka ke seluruh kawasan tasik bagi memburu si Naga Sri Gumum. Seorang pemandu bot, Awang Kassim, 56, berkata, sepanjang tempoh 25 tahun dia mencari rezeki di tasik itu, tidak pernah sekalipun dia bertemu dengan penjaganya.

"Kisah Naga Sri Gumum sering diperkatakan sejak saya kecil lagi. Namun sehingga sekarang, saya tidak pernah melihatnya," ujar anak jati Pahang ini.

Bagaimanapun, menurut Awang, dia tidak menafikan sepenuhnya kebenaran kisah dongeng itu kerana difahamkan pada suatu ketika dahulu, ada sekumpulan pelancong luar negara pernah terserempak dengan Naga Sri Gumum.

"Mengikut cerita Orang Asli yang tinggal di sini, kumpulan pelancong itu beria-ia mahu melihat makhluk tersebut. Mereka sanggup menghabiskan masa di atas bot demi mengesan kelibatnya.

"Pada satu petang, kumpulan tersebut tiba-tiba ternampak satu makhluk seakan-akan ular yang amat besar. Berdasarkan cerita orang lama, mereka yakin itulah Naga Sri Gumum penjaga Tasik Chini," ujarnya sambil memberitahu, masyarakat Orang Asli percaya Naga Sri Gumum dapat membaca niat hati seseorang.

"Mungkin naga berkenaan tergerak hati untuk menunjukkan dirinya bagi menunaikan hasrat pelancong tersebut," seloroh Awang. 


Petikan Ini dari Kosmo 2014

Catat Ulasan

#More Article

My Instagram